Labels

Saturday, 27 August 2011

Tips Kewangan | Ketahui Jenis Pendapatan Kita

Salam sahabat..

Bertemu lagi kita di dalam entry Tips Kewangan. Untuk entry kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang satu fakta yang sangat penting iaitu berkaitan dengan sumber pendapatan kita semua. 

Sahabat..hampir setiap hari kita bekerja siang dan malam memerah keringat dan otak semata-mata untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung hidup kita yang semakin tinggi, namun, selama masa kita  bekerja itu pernahkah kita terfikir atau terlintas tentang apakah jenis pendapatan yang  kita perolehi? Mengapa terdapat manusia lain yang memiliki pendapatan dengan cara bekerja keras dan mengapa terdapat pula segelintir manusia yang menerima pendapatan walaupun mereka tidak bekerja langsung ?
  
Saya ada terbaca sebuah buku best seller jutawan muda dari Singapura Adam Khoo yang bertajuk "Bagaimana Saya Boleh Menjadi Jutawan" yang menerangkan tentang jenis-jenis pendapatan yang dimiliki oleh semua manusia pada zaman sekarang.

Pendapatan Aktif
" Pendapatan aktif adalah pendapatan yang kita terima bagi setiap kerja yang kita lakukan."

"Anda bekerja hari ini, maka anda di bayar gaji untuk hari ini sahaja. Sekiranya anda tidak bekerja pada keesokkan harinya, maka anda tidak akan menerima apa-apa pendapatan sekalipun". Ayat ini merupakan definisi yang terbaik bagi menerangkan maksud pendapatan aktif. 
 
Pekerja-pekerja yang memiliki pendapatan aktif kebanyakkannya daripada golongan-golongan mereka yang bekerja secara makan gaji ataupun ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan yang tidak mempunyai ciri-ciri autopilot. Mereka yang bekerja secara makan gaji perlu bekerja keras setiap hari bagi mengekalkan sumber pendapatan mereka untuk menampung kos sara hidup dan perbelanjaan yang lain. Sekiranya mereka tidak bekerja, maka tiada gaji untuk mereka. 

Sebelum ini, mungkin ada di antara kita yang menganggap sekiranya kita bercuti menggunakan cuti tahunan ataupun cuti sakit, kita sebenarnya dibayar gaji walaupun kita sedang bercuti. Malangnya tanggapan seperti ini merupakan satu tanggapan yang tidak tepat sama sekali. Cuti tahun dan cuti sakit merupakan satu rang undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi menjaga kebajikan para pekerja yang ada di negara ini. Dan cuti-cuti ini wajib dibayar gaji oleh pihak syarikat. Tetapi, sekiranya kita sendiri yang ingin memohon cuti yang mana tidak diperuntukkan oleh kerajaan, cuti kita itu  akan dikira sebagai NPL atau No Pay Leave. Ini bermaksud tidak akan ada langsung bayaran gaji yang akan dibuat bagi cuti seperti ini.      

Selain dari golongan yang bekerja makan gaji, ahli perniagaan juga turut tidak terlepas dari memiliki sumber pendapatan yang aktif. Ahli perniagaan yang yang memiliki pendapatan aktif ini adalah ahli perniagaan yang tidak menjalankan perniagaannya secara autopilot. Perniagaan tidak berbentuk autopilot bermaksud perniagaan dimana kita harus berada di tempat perniagaan untuk menggerakkan sesuatu aktiviti perniagaan. Sekiranya kita tiada di tempat perniagaan, urusan perniagaan akan tergendala dan secara tidak langsung tiada keuntungan yang dapat dihasilkan oleh perniagaan. Dalam kata lain perniagaan seperti ini menggunakan konsep "kita bos kita kuli" dalam organisasi perniagaan tersebut. Contoh perniagaan yang tidak bercirikan autopilot adalah perniagaan yang dibuat secara kecil-kecilan seperti perniagaan pasar malam, perniagaan biskut raya, perniagaan bengkel yang mana rata-rata pemilik perniagaan merupakan pekerja di tempat perniagaan tersebut. 

Pendapatan Pasif
" Pendapatan pasif adalah pendapatan yang kita akan terima terus-menerus untuk sekali kerja sahaja."

Pada pendapat saya, mungkin ramai antara kita yang tidak faham ataupun mungkin tidak pernah menyedari tentang kewujudan perkataan pendapatan pasif. Apa yang mereka tahu jenis sumber pendapatan di dalam dunia ini cuma ada satu sahaja iaitu melalui pekerjaan yang bergaji hari. Ada kerja ada gaji. Konsep pendapatan pasif sebenarnya merujuk kepada teori Duit Kita Bekerja Untuk Kita. Selalunya kita mendengar ayat Kita Bekerja Untuk Duit Kita. Kini ianya dah terbalik. Sumber pendapatan pasif akan membuatkan duit kita bekerja untuk kita.

Anda yang bekerja setiap hari pastinya akan menerima pendapatan untuk anda bukan. Begitu juga dengan duit anda. Sekiranya ia bekerja setiap hari untuk anda, ia pasti akan memberi pendapatan untuk anda. Ini bermakna, sekiranya anda berhenti kerja sekalipun, anda masih lagi menerima pendapatan dari sumber pendapatan pasif. 

Pendapatan pasif ini kebanyakannya dimiliki oleh ejen jualan berulang seperti ejen Insurans ,ejen Web Hosting & Domain dan ejen produk kesihatan, ejen jalur lebar yang mana komisyen yang diterima merupakan hasil pembelian produk yang dibuat oleh pelanggan setiap bulan. Selain dari ejen jualan , Penulis buku, penyanyi dan ahli perniagaan autopilot juga antara golongan yang selalu menerima pendapatan pasif hasil dari royalti jualan buku album, dan jualan produk yang dilakukan secara automatik.
  
Contoh yang mudah difahami bagi menerangkan konsep Duit Kita Bekerja Untuk Kita adalah seperti ejen Insurans. Seseorang ejen Insurans hanya memerlukan sedikit pelaburan untuk menghasilkan jualan. Seorang sahabat saya yang merupakan seorang ejen Insurans Prudential Takaful pernah menunjukkan hasil kira-kira beliau dalam aktiviti jualan satu polisi insurans nyawa.

Kos sekali Telefon prospek RM2 + Kos sekali bertemu prospek RM50 + Kos sekali tenaga RM20 = RM72

Hasil jualan = RM150 sebulan untuk polisi insurans nyawa
25% komisyen ejen = RM37.50 setiap bulan

Selepas setahun RM37.50 x 12bulan = RM450

Jika dilihat pada kira-kira di atas, RM72 yang dilaburkan oleh sahabat saya ini telah bekerja untuknya bagi mendapatkan RM450 setahun secara tetap selagi pelanggan tersebut membeli insurans daripadanya. Dia hanya melakukan pekerjaan jualan ini untuk sekali sahaja, tapi komisyen yang diterimanya berkali-kali.
 
Kesimpulanya, sebagai manusia yang berada di atas bumiNya ini, kita sudah cukup jelas yang kita sebenarnya terdedah dengan perkara-perkara yang berada di luar jangkaan kita. Kita tidak dapat meramal apa yang akan terjadi kepada kita di masa hadapan. Adakah kita mampu untuk bekerja sehingga akhir hayat kita bagi mengekalkan sumber pendapatan aktif. Oleh yang demikan perubahan harus dilakukan sekarang sebagai persediaan di masa kita kesusahan. Sumber pendapatan pasif harus dicipta bagi membolehkan kita mengurangkan masa bekerja dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga tersayang.


0 comments:

Post a Comment